TANAH MERAH: Isu penyalahgunaan dadah di Kelantan masih membelenggu negeri itu apabila berterusan mencatatkan jumlah statistik tertinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkara itu bukan hanya disahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebaliknya turut disahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Katanya, berdasarkan rekod seawal usia 10 tahun kini sudah ada yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah apabila terdapat pengedar yang memberi bekalan dadah secara percuma kepada mereka sehingga menimbulkan ketagihan.
Sehubungan itu, semua pihak sama ada agensi, Kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing tidak boleh menuding jari sebaliknya perlu bekerjasama menangani masalah berkenaan.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Anti Dadah Kebangsaan menegaskan isu dadah adalah menjadi tanggungjawab bersama.
“Selain Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis juga merekodkan kes penyalahgunaan yang tinggi. Kita perlu ketepikan perbezaan sebaliknya sama-sama mencari jalan.
“Dulu slogan dadah musuh nombor satu negara, namun kini seolah-olah sudah tidak kedengaran. Kemasukan dadah dalam pelbagai jenis terutama dadah sintetik yang dibawa masuk menerusi air (sungai dan laut),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah di sini, hari ini.
Ditanya dakwaan ada pihak mengatakan kekurangan pekerjaan di Kelantan menyebabkan ramai yang terjebak dengan dadah, Ahmad Zahid turut mengakui perkara itu kerana keadaan ekonomi terlalu rendah.
“Dalam isu ini kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan kita di peringkat pusat akan membantu,” katanya.
Ditanya cadangan kerajaan negeri berhubung pembinaan tembok sempadan bagi mengekang kemasukan dadah, Ahmd Zahid turut memaklumkan ia bukan disebabkan tembok sempadan semata-mata.
“Jika kita lihat Terengganu tiada tembok sempadan namun masalah dadah juga turut berlaku. Justeru ada faktor lain yang turut menyumbang kepada kemasukan dadah,” katanya.-BH Online