Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ipoh: Sebanyak 921 daripada 1,006 institusi pendidikan agama berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, institusi itu merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), sekolah agama swasta, pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).

Beliau berkata, antara cabaran utama dihadapi ialah berhubung isu keselamatan dan pematuhan teknikal membabitkan pembinaan bangunan tanpa kelulusan pelan, ketiadaan sistem keselamatan kebakaran, dan operasi di tanah milik individu yang belum ditukar syarat penggunaannya.

“Keadaan ini menimbulkan pelbagai kesukaran bukan saja dalam soal urusan pendaftaran dan penyaluran bantuan, tetapi jauh lebih penting ia membabitkan keselamatan nyawa.

“Itulah titik penting agar penambahbaikan mesti dilakukan dalam aspek tadbir urus dan integriti pembangunan institusi agama,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Awam di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Saarani berkata, dua peristiwa yang menggemparkan negara pada 1989 dan 2017 membabitkan tragedi kebakaran di institusi pondok dan tahfiz masing-masing mengorbankan seramai 27 dan 23 pelajar seharusnya menjadi peringatan keras kepada semua.

Menurutnya, walau atas apa alasan sekalipun, insiden itu menuntut untuk semua lebih serius dalam meneliti sistem dan struktur pengurusan institusi.

“Dalam hal begini, tumpuan tidak hanya boleh disandarkan kepada soal integriti yang membabitkan amalan rasuah semata-mata kerana ia melangkaui aspek kewibawaan moral dan amanah dalam kita memelihara kemuliaan institusi.

“Integriti di sini lebih luas maknanya, ia membabitkan kejujuran dalam memikul amanah, ketelusan dalam pengurusan dana dan wakaf, kecekapan dalam pentadbiran, serta kesungguhan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga institusi,” katanya.

Katanya, ketirisan tidak semestinya berpunca daripada niat jahat kerana ia boleh berlaku akibat kelemahan struktur pengurusan seperti ketiadaan pelaporan kewangan yang jelas, tadbir urus yang longgar, atau kegagalan mendaftar institusi dengan agensi agama. 

“Semua ini akhirnya membuka ruang kepada keraguan dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang seharusnya menjadi medan dakwah dan benteng memelihara akhlak ummah.

“Seruan melakukan pendaftaran yang sah, pematuhan undang-undang dan amalan pemantauan berkala, semua ini tidak wajar dilihat sebagai kerenah birokrasi yang menyusahkan,” katanya.-MyMetro Online