Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Russia bersetuju untuk menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu dinyatakan rakan sejawatnya dari Russia, Sergey Lavrov dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu sebelum Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Russia di sini, hari ini.

“Keinginan kita untuk mendapatkan lebih banyak tempat untuk menghantar pelajar kita.

“Beliau bersetuju dan paling penting untuk kita menjayakan dasar kerajaan mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Beliau meminta kita menulis surat dan akan menguruskannya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Ketika ini, lebih 550 pelajar Malaysia sedang belajar di Russia dalam pelbagai bidang, antaranya perubatan dan kejuruteraan.

Selain itu, Mohamad memaklumkan, Russia pada mesyuarat itu memaklumkan sedang mempertimbang untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) bersama ASEAN.

“Bagaimanapun, dokumentasi mengenainya akan dirundingkan di peringkat pegawai,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Mohamad memaklumkan, China dan Russia bersetuju untuk menandatangani perjanjian SEANWFZ, manakala Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti untuk menandatangani perjanjian itu.

Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol itu, setiap Negara Senjata Nuklear (NWS) perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ dan tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang menjadi pelanggaran kepada Perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak, serta tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.-BH Online