Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Jemaah Menteri memberi jaminan pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai berkaitan hal pelantikan itu.

“Jemaah Menteri hari ini membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai perkara ini.

“Kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat mengenai pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan juga ingin menegaskan pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. 

“Perkara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. Ini juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.

Beliau mendakwa, mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sudah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.

Dalam pada itu, Azalina berkata, berikutan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, tugas berkenaan akan dipangku oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim sehingga jawatan itu diisi.

“Beliau akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan) sehingga jawatan tersebut diisi. 

“Ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 9(1)(b) serta subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91]. 

“Ia bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara. Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk dengan meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman. 

“Kerajaan juga ingin menyeru supaya semua pihak memberi ruang untuk proses yang sudah ditetapkan oleh

Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi,” katanya.-BH Online