Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah mengambil langkah penting dengan memperkukuh kerjasama komprehensif menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama strategik dalam bidang nuklear awam. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perjanjian berkenaan satu “pencapaian penting” yang membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala, khususnya dalam bidang keselamatan tenaga dan pembangunan lestari.

“MoU ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh perkongsian komprehensif Malaysia-AS,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU yang berlangsung di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia melihat penerokaan tenaga nuklear sebagai elemen penting dalam strategi jangka panjang, yang bermatlamat memastikan keselamatan tenaga, merangsang pertumbuhan ekonomi serta membangunkan keupayaan negara untuk memanfaatkan tenaga nuklear secara selamat, terjamin dan bertanggungjawab.

Pada majlis turut dihadiri Setiausaha Negara AS Marco Rubio, Mohamad mengumumkan kesediaan Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian 123, iaitu satu kerangka undang-undang penting yang diwajibkan oleh AS sebelum sebarang kerjasama nuklear melibatkan pemindahan bahan, peralatan atau teknologi dapat dijalankan.

Sementara itu, menyambut baik pemeteraian MoU itu, Rubio menyifatkannya sebagai contoh bagaimana kerjasama nuklear awam dapat direalisasikan antara rakan yang diyakini, di samping mengekalkan tahap keselamatan, perlindungan dan pencegahan penyebaran nuklear.

“Kami amat teruja dengan perkara ini (MoU), yang saya percaya ia adalah isyarat jelas kepada dunia bahawa kerjasama nuklear awam adalah sesuatu yang boleh direalisasikan.

“Terdapat banyak negara di dunia, termasuk sebahagian daripadanya yang sering menjadi perhatian kebelakangan ini, yang telah menyatakan minat terhadap program nuklear awam. 

“Ini contoh bagaimana ia boleh dilaksanakan dan kami amat berbesar hati kerana dapat menjayakannya bersama-sama rakan kongsi rapat,” katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen AS untuk mempercepat rundingan Perjanjian 123 dengan Malaysia, dan menyifatkan sebagai langkah seterusnya bersama sebuah negara yang diyakini mempunyai masa depan cerah.

“Sekali lagi, ini peluang amat bermakna kepada negara anda, peluang besar untuk memperkukuh hubungan kerjasama kita, dan satu contoh yang luar biasa kepada dunia. Jadi, saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif ini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan geopolitik yang lebih luas berkaitan memorandum itu, sambil menyatakan bahawa ia meletakkan asas kepada satu kerjasama tenaga nuklear awam yang kukuh, berlandaskan piawaian tertinggi dalam aspek keselamatan, perlindungan dan pencegahan penyebaran senjata nuklear.

Rubio, yang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Asia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara AS berkata beliau berasa amat berbesar hati kerana Malaysia menjadi destinasi pertama lawatannya dan AMM ke-58 menjadi acara rasmi pertama beliau.

Beliau berkata AMM adalah acara yang mempunyai kepentingan yang melangkaui Malaysia atau rantau ASEAN, ia merupakan satu penghormatan kepada beliau untuk dapat menjadi sebahagian daripadanya. 

Majlis menandatangani MoU itu juga adalah pembabitan rasmi pertama Rubio di rantau ini.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk pertemuan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi yang sedang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai itu menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi.-MyMetro Online