Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Koperasi adalah instrumen penting yang bukan hanya membantu anggotanya meningkatkan taraf hidup, tetapi juga sebagai ejen pengupayaan rakyat, khususnya untuk golongan B40, usahawan mikro dan komuniti setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau percaya, dalam usaha untuk membina Malaysia MADANI, peranan institusi kewangan seperti Co-opbank Pertama (CBP), bahkan gerakan koperasi di negara ini amat penting.

Katanya, gerakan koperasi di negara ini adalah satu gerakan ekonomi yang berusia lebih satu abad lamanya.

“Sumbangan gerakan koperasi terhadap pembangunan ekonomi negara amatlah besar sehinggakan ia berjaya untuk menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi anggotanya sendiri.

“Koperasi adalah instrumen penting di Malaysia yang mana bukan sahaja berperanan membantu anggotanya meningkatkan taraf hidup, tetapi juga sebagai ejen pengupayaan rakyat, khususnya untuk golongan B40, usahawan mikro dan komuniti setempat,” katanya pada majlis perasmian Wisma CBP di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. 

Yang turut hadir, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairul Anuar Mohammad Anuar.

Perasmian Wisma Co-opbank Pertama ini diihat signifikan apabila ia dirasmikan bersempena dengan sambutan ulang tahun CBP ke-75 pada 7 Jun lalu yang melambangkan salah satu kejayaa dicapai oleh CBP.

Wisma Co-opbank Pertama setinggi 13 tingkat yang terletak di lokasi strategik di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Bharu, melambangkan kekuatan dan kemajuan CBP sebagai institusi kewangan koperasi, selain menjadi simbol kepada aspirasi masa depan untuk terus berkembang sebagai peneraju perbankan koperasi yang moden, mampan dan inklusif di Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, CBP yang bermula dengan hasil kerjasama 17 buah koperasi di Kampung Pertama, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada tahun 1950, ditubuhkan untuk membanteras sistem padi kunca yang menindas petani, kini telah berdiri megah setanding dengan institusi-institusi kewangan lain.

Beliau berkata, selama lebih tujuh dekad, CBP telah menjadi simbol kekuatan ekonomi rakyat, khususnya Bumiputera yang dibina atas semangat kerjasama dan kepercayaan yang inklusif. 

“Pada saya, CBP bukanlah sekadar sebuah bank koperasi. Ia adalah simbol perjuangan ekonomi rakyat, yang lahir daripada semangat kerjasama, berlandaskan prinsip syariah, dan bergerak atas nilai kemanusiaan serta keadilan sosial.

“Saya berharap agar kejayaan CBP ini akan terus menjadi warisan kepada gerakan koperasi di Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara.

“Model kewangan koperasi seperti CBP ini adalah model ekonomi rakyat yang berbeza daripada sistem konvensional yang terlalu berorientasikan kepada keuntungan semata-mata. Ia berteraskan keadilan sosial, pengagihan saksama dan nilai kekitaan,” katanya.-BH Online