PUTRAJAYA: Satu kajian perbandingan awal sistem pelantikan hakim di beberapa negara terpilih akan dijalankan supaya pelantikan kehakiman dilaksanakan dengan berkesan, menepati amalan terbaik dan sesuai mengikut konteks negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kajian itu membabitkan negara seperti United Kingdom, India, Australia dan Singapura.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) memaklumkan, pelaksanaan kajian itu dipersetujui menerusi perbincangan awal antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dengan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Dewan Negara, Rita Sarimah Patrick Insol dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen.
“Kajian perbandingan awal ini akan memberi kefahaman holistik mengenai proses pelantikan kehakiman di negara dengan sistem yang serupa bagi membolehkan Malaysia menilai secara berasaskan keterangan keperluan reformasi dan menyesuaikan amalan terbaik mengikut konteks negara.
“Kajian ini juga bertujuan menilai model pelantikan kehakiman yang berkesan, mengenal pasti amalan terbaik dan mengesyorkan pembaharuan yang sesuai bagi konteks Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, perbincangan awal diadakan berhubung keprihatinan rakyat mengenai reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.
Dalam sesi itu juga, kedua-dua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas menyampaikan kebimbangan berhubung perkembangan terkini mengenai isu pelantikan kehakiman dan menekankan kepentingan penelitian yang lebih mendalam bagi memastikan proses itu lebih telus dan diyakini.
“Kerajaan melalui BHEUU turut mengalu-alukan pandangan dan maklum balas orang awam mengenai perkara ini. Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap perspektif diambil kira sebelum hasil kajian dibentangkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam dengan melaksanakan reformasi yang berasaskan keterangan dan telus,” katanya.-BH Online