ISKANDAR PUTERI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memfokus usaha mengesan kotak hitam helikopter yang terhempas di Sungai Pulai, berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Gelang Patah, pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pencarian itu dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), APMM dan agensi lain yang memiliki kepakaran dalam siasatan teknikal.
Selain pencarian kotak hitam, beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha menaikkan bangkai helikopter yang dipercayai tenggelam ke dasar sungai itu.
“Kita masih menunggu maklumat kotak hitam. Usaha sedang digembleng dengan kerjasama pelbagai agensi, dan ia membabitkan kepakaran teknikal yang khusus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.
Mohd Khalid berkata, proses mengangkat bangkai helikopter itu bagaimanapun dijangka mengambil masa kerana ia memerlukan kepakaran dan kelengkapan khusus untuk operasi dasar sungai.
“Setakat ini, kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia memerlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga.
“Saya difahamkan bahawa kedalaman sungai ini mencecah kira-kira 25 kaki dan itu memerlukan kepakaran tertentu dalam operasi ini,” katanya.
Helikopter AS355 milik PDRM itu dilaporkan terhempas ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang membabitkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
CAAM dalam satu kenyataan mengesahkan kemalangan itu membabitkan sebuah helikopter jenis AS355N bernombor pendaftaran 9M-PHG.
Menurut CAAM, helikopter dikendalikan PDRM itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi dan membawa lima kru, termasuk juruterbang.-BH Online