Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pencapaian memberangsangkan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan atau lebih dikenali ASEAN+3 membuktikan kapasiti forum kerjasama itu untuk terus menjana nilai, bertindak balas dengan cekap serta memimpin dengan pandangan yang jauh.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata antara pencapaian itu termasuk sokongan terhadap Kemudahan Pembiayaan Pantas (RFF) di bawah Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai (CMIM), momentum daripada kenyataan pemimpin mengenai Ekosistem Kenderaan Elektrik pada 2023 dan Pengukuhan Kesalinghubungan dalam Rantaian Bekalan Serantau pada 2024.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata ASEAN+3 perlu sentiasa mengadaptasi teknologi termaju supaya kekal tangkas, diselaras dengan baik dan berpandangan jauh, sekali gus memastikan ia terus relevan dan memberi impak.

“Transformasi digital serantau ASEAN dijangka menyumbang kira-kira AS$2 trilion (RM8.5 trilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau dan melalui kepakaran China, Jepun dan Korea Selatan, peluang serta potensi dalam bidang itu akan membawa pulangan yang amat besar.

“Inisiatif ini menyokong hasrat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk merapatkan jurang pembangunan, membolehkan pembangunan yang saksama, mempromosikan pertumbuhan mampan dan memupuk keamanan melalui kepercayaan dan kerjasama.

“Selain itu, ia mampu mempertingkat taraf hidup dan modal insan serta menggalakkan perpaduan dan penyertaan sosial secara inklusif dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN+3 Ke-26, sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar Jepun, Iwaya Takeshi; Menteri Luar China, Wang Yi; Menteri Luar Korea Selatan, Park Yoon-joo dan Menteri-Menteri Luar ASEAN.

Mohamad berkata, ASEAN+3 mewakili 2.28 bilion penduduk, dengan KDNK nominal kira-kira AS$29.33 trilion (RM124 trilion) atau 25.77 peratus daripada KDNK global.

Katanya, skala itu menggambarkan kepentingan strategik dan kerjasama global yang relevan serta tanggungjawab dalam memastikan kestabilan serantau, pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan.

“Justeru, kita perlu terus bekerjasama untuk mengekalkan momentum ini, memperkukuh kerjasama yang berorientasikan masa depan dan menyampaikan manfaat sebenar kepada rakyat kita dan di luar rantau ini,” katanya.-BH Online