KUALA LUMPUR: Malaysia membangkitkan isu tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump dalam perjumpaan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Rubio menyatakan bahawa surat berkenaan adalah surat cara umum dan Malaysia masih mempunyai tempoh sebulan untuk mengadakan rundingan.
“Mereka tahu bahawa Malaysia adalah negara dagang utama AS di rantau ini dan akan memberikan pertimbangan serta mengemukakan pandangan kita,” katanya ketika ditemui media selepas perjumpaan bersama Rubio, di sini, hari ini.
Anwar berkata, perjumpaan bersama Rubio banyak tertumpu kepada ASEAN.
“AS masih menganggap hubungan dengan Malaysia penting dan mahu mengekalkan malah meningkatkan kerjasama bersama dengan ASEAN.
“AS juga memahami pendirian kita untuk berbaik dan berdagang dengan semua negara. Ini penting ya. Kerana banyak yang menganggap bahawa kita harus memilih. Tidak,” katanya.
Anwar menegaskan walaupun AS adalah rakan dagang yang penting, hubungan dengan China, negara ASEAN dan negara lain akan dipertingkatkan untuk menjamin kepentingan rakyat dan faedah kepada negara.
Dalam perbincangan itu Anwar berkata, beliau turut menyentuh mengenai Gaza dan menekankan bahawa pembantaian, kekejaman harus dihentikan.
“Rubio menyatakan bahawa maklumat terakhir ialah terdapat usaha keras dan beliau yakin akan ada gencatan senjata membolehkan bantuan kemanusiaan ke Palestin dan Gaza.
“Mengenai isu-isu lain membabitkan perdamaian, saya tekankan bahawa kita di sini terkesan juga kalau ada pencerobohan dan gangguan,” katanya.
Terdahulu, Rubio bersama delegasi AS mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada jam 7.39 pagi
Beliau disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman; Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan dan Kuasa Usaha di Misi AS ke ASEAN, Kate Rebholz
Rubio tiba bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Ini juga adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.-BH Online