Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Sektor agromakanan menyumbang RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bersamaan dengan kadar 11 peratus KDNK negara pada suku pertama tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara hasil tanaman yang menjadi penyumbang adalah durian dan nenas yang begitu ketara peningkatannya, selain kelapa.

“Daripada jumlah itu, subsektor tanaman, ternakan dan perikanan menyumbang sebanyak RM13.8 bilion, manakala subsektor makanan dan minuman sebanyak RM9.7 bilion; subsektor perkhidmatan makanan sebanyak RM22.1 bilion. null

“Namun, angka ini masih belum memadai tetapi tetap menjadi bukti kepada usaha dan kerja kuat kita semua.

“Kita semua tahu, sektor agromakanan bukan hanya soal ekonomi. Ia soal kelangsungan hidup. Soal yang berkaitan dengan perut rakyat dan juga soal masa depan negara.

“Oleh itu, KPKM akan sentiasa komited untuk memastikan sektor ini terus berkembang dengan subur dan mampan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Seminar Pengembangan Agromakanan Subsektor Tanaman Tahun 2025 di KSL Esplanade di sini, hari ini.

Mohamad berkata, melalui Dasar Agromakanan Negara 2.0, KPKM amat mengalakkan penggunaan automasi; pertanian pintar; dron; penderiaan jauh; teknologi internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI). null

“Kesemua teknologi ini boleh membantu menghasilkan lebih banyak makanan, lebih menjimatkan dan mesra alam sekitar.

“Yang lebih penting, melalui penggunaan teknologi ini, lebih ramai anak muda dan belia akan berminat untuk menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mendedahkan hampir separuh daripada petani yang direkodkan di negara ini terdiri daripada golongan yang sudah berusia 60 tahun ke atas, katanya; 

“Memang penuaan ini berlaku, paling banyak kepada penanam padi terutamanya di Kedah dan Kelantan yang mengerjakan sawah secara tradisi yang turun-temurun, maka penuaan berlaku di situ.

“Petani tua ini banyak, ada di mana-mana negara, cuma kita nak ganti dengan segera agak sukar dan mengambil masa. Tetapi sudah ada trend anak muda mengusahakan sawah pada menggunakan dron, sudah ada di Sabak Bernam malah beberapa tempat di Kedah dan pengusaha muda ini sudah ada kilang padi.

“Jadi kita akan terus menggalakkan anak-anak muda untuk menyambung usaha-usaha ini dengan teknologi yang lebih moden dan senang. Kita juga dapat melihat anak-anak muda menceburi bidang ini dalam bentuk skala yang lebih besar, banyak kita lihat anak muda mula terbabit seperti di Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.

Menurut DOSM, bancian itu mendapati jumlah petani yang sudah berusia itu adalah seramai 458,263 orang bersamaan 45.4 peratus, sementara kategori individu berusia 46 hingga 59 tahun sebanyak 326,287 orang iaitu sekitar 32.3 peratus.-BH Online