KUALA LUMPUR, 9 Julai -Kerajaan menegaskan bahawa pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak.
“Ini juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.
“Dalam hal ini, Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini,” menurut kenyataan itu.
Jemaah Menteri turut memberi jaminan bahawa pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya, Yang Amat Arif Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya bawah Perlembagaan Persekutuan) sehingga jawatan tersebut diisi.
“Ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 9(1)(b) serta subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91]. Ini bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara,” tambah kenyataan itu.
Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk dengan meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.
Pada masa sama semua pihak diseru supaya memberi ruang agar proses yang telah ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi.-Berita RTM