Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan ASEAN bukan terletak pada ketiadaan ketegangan, tetapi pada komitmen rantau itu untuk menguruskannya melalui sikap saling menghormati, dialog berterusan dan mencari kata sepakat. 

Tegas Perdana Menteri, itulah ‘Cara ASEAN’ dan beliau mahu kekuatan itu dikekalkan sebagai panduan bersama.

“ASEAN tidak lahir daripada keadaan yang mudah. Ia ditempa dalam kerumitan oleh negara yang memahami berhubung bahaya perpecahan dan janji yang ditawarkan melalui sesi dialog.

“Namun, kita berjaya mengekalkan keamanan dan meluaskan kemakmuran dengan cara yang jarang dapat ditandingi oleh rantau lain.

“Kita mencapainya dengan memupuk budaya kerjasama, kesediaan untuk terus berhubung, walaupun masa lalu mencabar dan masa kini menguji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menasihati asas dalaman ASEAN perlu dikukuhkan, dalam berdepan tekanan dari luar selain ketidaktentuan global.

Beliau berkata, membina sebuah ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan erat adalah suatu keperluan strategik yang akan menjadi tunjang kepada ketahanan dan tahap relevan blok itu bagi dekad akan datang.

“Keperluan untuk bertindak dengan tujuan yang jelas di ASEAN tidak boleh diperkecilkan dengan mengukuhkan kerjasama bersifat praktikal.

“Ia membabitkan aspek keterhubungan, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam, dan daya tahan iklim,” katanya.

Perdana Menteri berkata, aspek paling penting ialah Kepusatan ASEAN mesti menjadi ‘bintang’ panduan bersama, dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan dan memperbaharui institusi dipimpin blok itu.

“Kita mesti kekal sebagai sauh utama rantau ini untuk dialog, seperti mana rakan dialog kita mesti terus melihat nilai dalam menjalin hubungan dengan kita,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi perumpamaan usaha baik ASEAN itu dengan menggambarkan ketabahan seorang ibu di Battambang, yang sedang menyusun gerainya sewaktu fajar menyinsing di bandar itu. 

Katanya, ia berterusan dengan ketekunan seorang petani di Luzon Tengah, yang mengusahakan tanah bagi menyara keluarganya secara turun-temurun. 

“Dan ia terserlah dalam sinar harapan di mata seorang kanak-kanak di Chiang Rai, yang berjalan ke sekolah dengan impian masa depannya.

“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau kita berpotensi menjadi lebih aman dan lebih makmur, jika kita berani melihat ASEAN bukan sekadar sebagai negara yang bergerak seiring, tetapi sebagai satu komuniti yang melangkah dengan tujuan bersama.

“Di sinilah terletaknya nilai ASEAN, bukan pada kenyataan bersama semata-mata, tetapi pada hasil nyata yang mengukuhkan rantau kita dan memberi manfaat kepada rakyatnya,” katanya.-BH Online