Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peranan ASEAN mendapat tumpuan dan diiktiraf dunia apabila banyak negara bertanyakan mengenai blok itu ketika kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.

Berkongsi perkara itu di pentas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata dalam setiap pertemuan bersama pemimpin luar, mereka tidak terlepas bertanyakan soal ASEAN.

Ia, katanya sekali gus menunjukkan blok dianggotai 10 negara itu berjaya meraih penghormatan dunia, selain mengukir kedudukan yang mengagumkan.

“Saya baru sahaja pulang dari Rio (Rio de Janeiro, Brazil) dan sebelum itu dari Itali dan Perancis. Dalam setiap pertemuan bersama pemimpin, termasuk sesi dua hala dengan Malaysia, tanpa pengecualian mereka bertanyakan mengenai ASEAN.

“Semua mengiktiraf peranan ASEAN. ASEAN kini berjaya mengukir kedudukan yang mengagumkan serta mendapat penghormatan dan pengiktirafan yang besar di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada pembukaan mesyuarat itu.

Mesyuarat dihadiri Menteri-menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Tambah Perdana Menteri, pihaknya melihat pencapaian ASEAN ke tahap ini adalah hasil daripada kepercayaan dan persahabatan yang terjalin erat antara pemimpin termasuk dalam kalangan menteri luar.

Katanya, pelbagai fasa sudah berjaya dilalui demi memastikan kejayaan ASEAN termasuk dalam bidang yang diakui masih menghadapi kekangan antaranya perdagangan intra-ASEAN dan pelaburan bersama.

“Namun begitu, kita tetap mencapai kemajuan yang membanggakan… sekali lagi saya tegaskan, ia adalah hasil daripada tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi antara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ASEAN diakui berdepan beberapa isu yang lebih sensitif, sebagai contoh membabitkan Myanmar, dengan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang menjadi rujukan utama bagi menangani krisis politik di negara itu.

Namun melalui perbincangan dengan pemimpin, sokongan penuh dan keyakinan diberikan tanpa pengecualian sebelum usaha dilaksanakan dalam mencari titik persefahaman bersama mengenai hala tuju seterusnya.

Dalam insiden yang kurang menyenangkan baru-baru ini antara Kemboja dan Thailand yang tentunya mendapat perhatian, Perdana Menteri berkata beliau tidak teragak-agak untuk segera menghubungi rakan sejawat dari dua negara bagi menyatakan keprihatinan dan menyokong segala usaha ke arah keamanan yang berkekalan.-BH Online