KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berunding dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balas 25 peratus yang dikenakan ke atas negara ini bermula 1 Ogos ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia tidak akan berhenti untuk berunding dengan pihak pentadbiran AS bagi memastikan negara mendapat manfaat daripada rundingan itu.
Katanya, pihaknya juga akan mengadakan sidang media mengenai tarif terkini AS itu selepas mesyuarat Kabinet esok.
“Kita akan teruskan berunding dengan pihak AS untuk memastikan Malaysia mendapat manfaat daripada perbincangan ini,” katanya sebelum pulang ke Malaysia dalam lawatan rasmi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, setakat ini dua negara yang sudah mencapai persetujuan dengan AS iaitu United Kingdom (UK) dan Vietnam.
Beliau juga telah bercakap dengan rakan dari negara lain dan mereka juga memaklumkan berunding dengan AS mengenai perkara itu.
“Setakat ini kita akan teruskan perbincangan dengan pihak pentadbiran AS dan kita akan teruskan perbincangan sehingga 1 Ogos.
“Setakat ini, dua negara telah muktamad perjanjian (dengan AS) iaitu Vietnam dan UK,” katanya.
AS adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar, dengan jumlah dagangan pada 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion.
Eksport ke AS mencecah RM198.7 bilion, manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion.
Dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group, Presiden AS itu menyatakan akan mengenakan tarif timbal balas 25 peratus ke atas semua produk Malaysia ke AS bermula 1 Ogos 2025.-BH Online