KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati kebanyakan kes jenayah yang berlaku di negara ini disebabkan pengambilan dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan dapatan itu diperoleh hasil analisa terhadap 1.2 juta data jenayah di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Saifuddin berkata, tiga kesalahan utama yang dikenalpasti adalah membabitkan Seksyen (15) (1) iaitu memasukkan dadah, Seksyen 12(2) iaitu memiliki dadah secara kecil kecilan dan 39 (c ) iaitu kesalahan berulang berkaitan dadah.
“Kalau kita lihat tiga kesalahan utama di negara ini adalah berkait dengan dadah. Bila kita dalami lagi dapatan berkenaan, kita dapati mereka yang terjebak dengan Seksyen 15 (1) (memasukkan dadah dalam badan), mereka berpotensi melakukan 31 jenayah lain.
“Sementara individu yang terbabit dengan Seksyen 12 (2) pula berpotensi melakukan 11 jenayah lain termasuk merompak, peras ugut dan pelbagai lagi.
“Jadi kesimpulannya, kalau nak atasi jenayah di Malaysia, kita perlu selesaikan pokok dan ibu kepada segala jenayah ini iaitu pembabitan pelakunya dalam jenayah dadah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri INTAN Minister’s Conversation’ (IMC) 2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, jika masalah dadah itu dapat dibendung, ia sekali gus boleh mengurangkan masalah kesesakan yang dialami oleh Jabatan Penjara ketika ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, menerusi dapatan daripada analisa AI itu, pelbagai dasar dan strategi membanteras jenayah berkaitan dadah yang lebih mantap akan dirangka kerana ia dilaksanakan berdasarkan data sedia ada yang dimiliki PDRM.
“Bagi tahun ini, arah tuju KDN adalah untuk menguasai penggunaan AI iaitu AI untuk KDN. Disebabkan itu kita akan tingkatkan dulu dari segi sumber manusia kemudian akan tingkatkan kemahiran anggota dan pegawai kita.
“Dapatan yang diperloleh itu nanti dapat digunakan untuk membanteras masalah dalam negara,” katanya.-BH Online