KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan ke Rio de Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 sebagai satu kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.
Menerusi hantaran di Facebook selepas selesai urusan rasmi delegasi Malaysia di negara itu, Anwar berkata lawatan berkenaan mencapai matlamat utamanya termasuk memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil, tetapi juga negara-negara anggota BRICS yang lain.
“Nama Malaysia terus meniti di bibir pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
“Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekehkan usaha ini. Perjalanan kita masih panjang dan kita akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan misi berkenaan termasuk pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta petugas media atas dedikasi dan komitmen mereka.
“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera. Obrigado, Brasil. Até nos encontrarmos novamente,” kata beliau.
Anwar berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas mengadakan siri lawatan ke tiga negara, iaitu Itali, Perancis dan Brazil.
Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Galeão (BAGL) pada 1 tengah hari waktu tempatan (12 tengah malam Isnin waktu Malaysia). – BERNAMA