Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Semua pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan melalui ‘transformasi’ supaya menjadi serba boleh bagi memastikan tiada ‘kebocoran’ di 22 pintu masuk utama negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ‘transformasi’ itu akan mewujudkan pegawai dan anggota yang sebelum ini daripada pelbagai latar belakang lebih multi dimensi dalam setiap tugasan yang dilaksanakan kelak.

Beliau yang baru memulakan tugas mengetuai agensi itu pada 1 Julai lalu berkata, cabaran awal pada masa ini adalah melakukan perubahan atau transformasi penugasan pegawai dan anggota sebagai ‘satu keluarga besar AKPS.

“Seperti yang semua sedia maklum, AKPS ini mempunyai pegawai dari pelbagai agensi dan skop kerja yang berlainan dan di sinilah bagaimana saya akan menukar atau transformasi.

“Sebagai contoh, kita akan menerapkan seseorang pegawai dari Jabatan Imigresen untuk turut melakukan tugas Kastam Diraja Malaysia dan pegawai PERHILITAN pula akan turut melakukan tugas pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan inilah yang dikatakan serba boleh.

“Apa yang kita rancang adalah menjadikan setiap pegawai dalam AKPS ini sebagai satu keluarga,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, langkah itu bukan sahaja menjadikan setiap pegawai dan anggota sebagai lebih terbuka malah bakal menjadikan mereka lebih profesional kerana bakal menggalas tanggungjawab yang lebih serius dan budaya kerja yang berbeza.

Katanya, sudah tentu apabila penugasan ini digabungkan atau disatukan, masalah integriti turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian.

“Sudah semestinya apabila kita menggabungkan semua agensi maka kuasa yang dimiliki akan lebih luas dan semakin luas kuasa itu, dia akan terbuka kepada ruang dan peluang yang tidak sihat.

“Oleh itu saya dan maklumkan secara terbuka kepada semua barisan pegawai AKPS, yang saya tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen yang tidak sihat selain mencadangkan beberapa prosedur baharu termasuk penamatan kerja sekiranya didapati terbabit dalam aktiviti penyeludupan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, dalam memberi penekanan terhadap melakukan transformasi, usaha mendapatkan pengambilalihan sumber manusia dan juga aset-aset terkini turut diberikan perhatian.

Beliau juga berkata, usaha AKPS dalam memastikan aktiviti penyeludupan di setiap pintu masuk negara melalui ruang lingkup operasi dan risikan juga akan diperkembangkan selepas proses transformasi berjalan lancar.-BH Online