KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Firos Mohamed, penjaga gol legenda Pulau Pinang yang meninggal dunia ketika beraksi pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook pagi ini, beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham dan menyifatkan pemergian Firos sebagai satu kehilangan besar buat komuniti bola sepak negara.
“Saya telah mengarahkan agar segala bentuk bantuan yang diperlukan disalurkan kepada keluarga Allahyarham, termasuk urusan penghantaran jenazah dan pengebumian agar semuanya dipermudahkan.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Firos Mohamed. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Menurut Zambry, beliau sendiri sempat hadir ke hospital selepas dimaklumkan mengenai berita duka itu dan berkesempatan menemui keluarga Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral.
Firos, 53, meninggal dunia selepas dilaporkan rebah ketika beraksi dalam perlawanan malam tadi.-BH Online