Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) kini di peringkat akhir dalam usaha menyelesaikan isu pesakit terpaksa menunggu lama sehingga melebihi enam jam untuk menerima rawatan di hospital kerajaan seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu secara menyeluruh menerusi sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Katanya, isu berkenaan sudah ditangani sejak tahun lalu termasuk dalam tempoh beliau kembali menerajui KKKM.
“Tolong beri sedikit ruang kerana ia kini di peringkat akhir,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMas) peringkat kebangsaan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly enggan mengesahkan sama ada kelewatan rawatan itu berpunca daripada kekurangan tenaga kerja perubatan, termasuk doktor dan jururawat yang memilih untuk berkhidmat di hospital swasta.
“Saya tidak mahu komen lanjut kerana perkara ini berulang kali dijelaskan kepada media.
“Tunggu penjelasan rasmi daripada pihak kementerian,” katanya.-MyMetro Online