KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, ia selaras Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Seksyen 9 (1) (b) dan seksyen 9 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
Menurutnya, pelaksanaan tugas itu turut merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tersebut diisi.
Menurut Perkara 9(1), sekiranya pada bila-bila masa, disebabkan oleh penyakit, ketiadaan dari Malaysia atau apa-apa sebab lain, Ketua Hakim Negara tidak dapat menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatannya (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan), atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.
Perkara 9(1)(a) pula menyatakan, maka kuasa itu boleh dijalankan dan tugas boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan (PCA) atau sub-seksyen (b), oleh Hakim Besar Malaya sekiranya PCA tiada di Malaysia atau tidak dapat bertindak, atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.
Kenyataan itu berkata, Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat memegang jawatan itu selama enam tahun dengan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu, bersara wajib pada Rabu lalu.
Sebelum bersara wajib, Tengku Maimun menyempurnakan tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara dengan mempengerusikan dua prosiding termasuk rayuan akhir kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.
Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum. -BH Online