KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia mempertimbangkan cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan supaya selari dengan kehendak Perlembagaan dan selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi negara.
Pertimbangan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan, Kabinet sebelum ini sudah melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, keputusan itu yang dibuat atas perhatian serius Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap isu kebebasan berhimpun,adalah langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan hak berkenaan.
“Berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, KDN mengambil maklum dengan penuh hormat keputusan tersebut dan akan meneliti keputusan ini untuk tindakan sewajarnya.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan keperluan menjaga ketenteraman serta keselamatan awam.
“Keutamaan kerajaan MADANI adalah untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman, teratur dan bertanggungjawab,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebulat suara dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang. null
Ketika membacakan keputusan itu, Tengku Maimun dilaporkan berkata mahkamah mendapati Subseksyen 9(5) APA 2012 adalah tidak sah dari segi Perlembagaan kerana melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) dan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, dalam hal berkaitan, KDN juga akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen akan datang.
Katanya, rakyat Malaysia semakin matang dalam menggunakan hak untuk berhimpun secara aman dan bertanggungjawab apabila 99 peratus daripada lebih 7,000 perhimpunan diadakan tahun lalu diadakan tanpa sebarang sekatan.
“Sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan diadakan dan 98 peratus daripadanya berlangsung tanpa sebarang sekatan dan meningkat kepada 99 peratus daripada lebih 7,000 perhimpunan, tahun lalu.
“Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara,” katanya.-BH Online