Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Malaysia sudah menghantar wakil ke Geneva, Switzerland untuk berkongsi pengalaman menggubal undang-undang baharu berkaitan ekonomi gig, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini selepas mempertimbangkan hasrat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk mempelajari pengalaman Malaysia merangka perundangan khusus berkaitan ekonomi gig.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) berkata, ini kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang menggubal akta khusus bagi memantau keseluruhan ekosistem ekonomi gig.

“Pengerusi Sekretariat Majlis Ekonomi Gig UMNO, Datuk Seri Shakar Shamsudin hari ini, berada di Geneva untuk membentangkan (pengalaman Malaysia menggubal akta berkaitan ekonomi gig) kepada ILO.

“Perkongsian ini penting kerana kebanyakan negara lain hanya meminda akta sedia ada bagi memasukkan peruntukan berkaitan ekonomi gig,” katanya pada sidang media Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasu Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, rang undang-undang (RUU) berkaitan ekonomi gig dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, Ogos ini, selain yakin cadangan SEGiM bagi memastikan susunan dan kawal selia ekosistem industri gig dilaksanakan secara lebih berkesan.

Selain itu, katanya, sesi libat urus berterusan antara kerajaan bersama pemain industri bagi memastikan semua isu berbangkit dapat diselesaikan dalam RUU berkenaan. null

Beliau berkata, antara kebimbangan dibangkitkan pemain industri ekonomi gig adalah pertindihan tugas dan pembayaran gaji minimum mengikut kadar ditetapkan kerajaan.

“Saya sudah menyatakan perkara ini sejak tahun awal tahun, di mana suruhanjaya perlu ditubuhkan dan akta ini akan memberikan perlindungan, bukan hanya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital dan Kementerian Pengangkutan.

“Suruhanjaya ini akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi mengkoordinasikan dan penguatkuasaan akta ini. Mudah-mudahan soal ini dapat dilaksanakan selepas dibentangkan ke Parlimen,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.-BH Online