KOTA KINABALU, 30 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Op Kesan 4.0 bermula esok (1 Julai) sebagai langkah tegas memantau pergerakan harga barangan dan perkhidmatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
Operasi berkenaan bakal mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) sebagai instrumen utama dalam membanteras sebarang aktiviti pencatutan yang membebankan pengguna.
“Jadi kita akan bertegas dalam hal ini untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan membuat kenaikan atau pergerakan harga tidak berwajaran dan tanpa asas.
“Jadi ini tanggungjawab kita untuk memantau tindakan mana-mana pengusaha atau peniaga. Tindakan tegas akan dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri sesi libat urus bersama persatuan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman Sabah di sini.
KPDN turut membuka ruang konsultasi kepada peniaga yang ingin mendapatkan nasihat terlebih dahulu sebelum membuat pelarasan harga, untuk mengelak daripada dikenakan tindakan pencatutan.
Berhubung kenaikan harga ais dan produk burger keluaran dua syarikat baru-baru ini, pihak masing-masing diminta untuk memberi penjelasan lanjut.
Siasatan tersebut akan menyemak sama ada kenaikan tersebut berpunca daripada kos operasi sebenar atau hanya alasan tidak berasas.