Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LANGAT, 29 Jun – Pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini tidak memberi kesan ketara kepada ibu bapa yang menghantar anak ke institusi pendidikan awal swasta seperti taska, tadika dan prasekolah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan Cukai Perkhidmatan (CP) hanya dikenakan kepada institusi yang mengenakan yuran pengajian melebihi RM60,000 setahun bagi seorang pelajar.

“Ini lebih kepada mereka yang menghantar ke institusi swasta. Bermakna mereka ini mampu. Orang ramai tidak perlu gusar kerana setakat ini, difahamkan kebanyakan institusi tidak mengenakan caj setinggi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025 di Pulau Carey, di sini.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan pengusaha institusi pendidikan swasta agar tidak mengambil kesempatan daripada peluasan dasar percukaian yang bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara.

“Kita harap para pengusaha melaksanakan tanggungjawab mereka secara jujur dan tidak mengenakan caj berlebihan sehingga membebankan ibu bapa,” tegas beliau.

Menurut Datuk Seri Nancy, kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan rakyat terutama golongan ibu bapa muda yang memerlukan sokongan dalam pendidikan awal anak-anak.

CP sebanyak enam peratus yang bakal dilaksanakan itu turut melibatkan perkhidmatan pendidikan termasuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta, namun tidak akan dikenakan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) warganegara Malaysia.-BH Online