Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa agar segera menerapkan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi tuntutan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta bersaing dalam landskap ekonomi masa hadapan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata penggunaan teknologi terkini adalah penting bagi membolehkan sektor PKS bergerak seiring dengan perubahan global dan menyokong usaha kerajaan ke arah pendigitalan menyeluruh. Katanya, antara inisiatif yang dilancarkan bagi menyokong transformasi ini ialah platform ESGAMConnect yang dibangunkan untuk membantu PKS mencapai sasaran ESG mereka.

“PKS membentuk lebih 97 peratus daripada struktur ekonomi negara. Maka, penyertaan sektor ini amat penting dalam menjayakan agenda ekonomi digital dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi baharu,” katanya selepas melancarkan ESGAMConnect di sini, hari ini.

ESGAMConnect ialah platform berasaskan AI yang dibangunkan oleh Persatuan ESG Malaysia (ESGAM) bersama iForte Intelligence Sdn Bhd. Ia menawarkan ekosistem digital menyeluruh yang menyediakan pembantu maya pintar untuk membantu syarikat mengurus dan mematuhi amalan ESG dalam rantaian operasi mereka.

Menerusi kenyataan media, ESGAM menjelaskan bahawa platform itu turut menawarkan modul latihan, pembangunan bakat ESG, penilaian digital untuk mengenal pasti jurang pematuhan serta direktori yang menghubungkan syarikat dengan pakar perunding, juruaudit dan penyedia penyelesaian ESG yang diperakui.

Ia juga menyokong pelaporan dan audit ESG, menyediakan panduan badan akreditasi dan menyenaraikan platform serta pasaran kredit karbon berkaitan. Dalam masa sama, platform ini menawarkan hab pembiayaan serta akses kepada geran dan skim pinjaman hijau kerajaan, yang dilihat mampu mempercepatkan pertumbuhan berteraskan ESG dalam kalangan PKS.

Penasihat Kehormat dan Pengerusi Pakatan Strategik ESGAM, Eric Chong, berkata platform itu dijangka menjangkau lebih 1.2 juta PKS di seluruh negara menerusi kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Persatuan PKS Malaysia (SMEAM) dan Pakatan CSO-SDG Malaysia (MCSA).

Menurutnya, ESGAMConnect kini berada dalam fasa pertama pelaksanaannya dan akan ditambah baik berdasarkan maklum balas pengguna, dengan pelancaran fasa kedua dijadualkan pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

Inisiatif ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk membina ekosistem digital negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif, sejajar dengan agenda transformasi digital dan matlamat pembangunan mampan (SDG). – Bernama