Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti laporan siasatan lengkap insiden letupan paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, yang berlaku pada 1 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata siasatan lengkap berhubung kejadian itu selesai sepenuhnya pada 26 Jun, dan jawatankuasa khas berkenaan akan ditugaskan untuk meneliti laporan serta mencadangkan langkah susulan sewajarnya.

Menurutnya, langkah itu perlu diambil oleh pihak kerajaan sama ada daripada aspek perundangan, tindakan susulan atau perkara-perkara lain yang relevan.

“Undang-undang saya maksudkan adalah peraturan yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan negeri supaya kita boleh melahirkan satu langkah pencegahan terhadap ini ataupun langkah susulan untuk memastikan peristiwa ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Ini antara langkah susulan yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri dengan membentuk jawatankuasa khas yang akan menilai laporan-laporan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dan Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Mat.

Amirudin berkata, jawatankuasa berkenaan akan merangkumi pandangan pelbagai pihak termasuk peranan kerajaan Persekutuan, khususnya dalam aspek pengurusan bencana serta penjelasan kepada umum mengenai kejadian itu.

Beliau berkata pembentukan jawatankuasa khas itu dengan sokongan pihak Petronas dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Amirudin turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam proses siasatan sejak hari kejadian hingga laporan akhir siap pada akhir Jun lalu.-BH Online