PUTRAJAYA: Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) memanfaatkan lebih 700,000 individu di seluruh negara melalui pelaburan komuniti di bawah inisiatif ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata program kendalian Kementerian Kewangan (MOF) itu turut berjaya membantu lebih 8,000 belia daripada kumpulan B40 memperoleh akses kepada peluang pekerjaan melalui program penempatan pekerjaan yang dilaksanakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang digerakkan secara menyeluruh oleh GLIC dan rangkaian GLC ini turut melibatkan penyaluran lebih RM200 juta dalam bentuk biasiswa bagi menyokong pembangunan modal insan negara.
“Pendekatan inklusif yang diambil menerusi GEAR-uP memperlihatkan keupayaan GLIC untuk memacu pembangunan negara sambil mengangkat martabat rakyat,” katanya pada taklimat GEAR-uP di sini, hari ini.
Dalam tempoh kurang setahun sejak dilancarkan pada Ogos 2024, GEAR-uP telah mengenal pasti pelaburan domestik langsung (DDI) sebanyak RM22 bilion, dengan RM11 bilion daripadanya telah pun digerakkan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor dan tenaga bersih.
Selain pelaburan berskala besar, program ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan, peluang pekerjaan dan keusahawanan, khususnya dalam kalangan kelompok rentan.
Mengulas lanjut Amir Hamzah berkata, GEAR-uP tidak hanya menumpukan kepada pelaburan modal, malah berperanan sebagai mekanisme penyelaras strategi sosial dan ekonomi negara.
“GEAR-uP bukan sekadar penyaluran modal, ia adalah mengenai penjajaran strategik. Kita membuka ruang RM120 bilion untuk merangsang sektor masa depan sambil meningkatkan pendapatan, membina keupayaan dan menyampaikan kesejahteraan bersama,” katanya.-BH Online