KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, meminta umat Islam di negara ini menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia dan menghormati kawasan perkuburan, sekali gus tidak menjadikannya tempat mencari keberkatan mahupun populariti.
Mohd Na’im dalam hantaran melalui Facebook beliau, malam ini, menjelaskan bahawa umat Islam sebaliknya digalakkan menziarahi kubur sebagai peringatan akan kematian, menambah keinsafan serta mendoakan kesejahteraan roh si mati, dan bukannya dengan tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.
“Saya mengikuti laporan berita mengenai tindakan segelintir pihak didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan kononnya mendapat berkat.
“Perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Na’im mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan serta tidak terikut perbuatan tiada asas dalam syariat, terutama yang boleh menjurus kepada perkara menyanggahi akidah agama Islam.
Beliau berkata, tindakan seperti mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah sekiranya disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan ataupun kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat.
“Saya juga menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas tetapi berhemah dalam menangani isu ini, serta usaha pihak berkuasa agama memantau kawasan perkuburan.
“Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuhkan akidah umat Islam di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengajak umat Islam untuk sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dicucuri rahmat, dan keluarganya diberikan ketabahan menghadapi ujian itu.
Terdahulu, media melaporkan keluarga arwah terpaksa memasang tali penghadang di pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, Terengganu, susulan tindakan segelintir individu didakwa melakukan perbuatan syirik dan khurafat di kawasan berkenaan.-BH Online