Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Ekonomi yang dimeterai Malaysia bersama Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) akan bakal menyaksikan pelaburan berbilion ringgit mengalir masuk ke negara ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–EFTA (MEEPA) itu membuka luas pintu pasaran Eropah, dengan lebih 90 peratus eksport Malaysia ke negara anggota persatuan berkenaan iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein akan bebas cukai.

“Kita baru saja melakar sejarah, Malaysia kini meluaskan sayap ekonominya ke Eropah dengan menandatangani MEEPA bersama EFTA.

“MEEPA bukan sekadar perjanjian biasa, ia adalah kunci untuk membuka pintu pasaran baharu, mencipta peluang pekerjaan, mencipta peluang perniagaan yang lebih luas dan membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi ke negara kita.

“Bayangkan 90 peratus eksport kita ke Switzerland, Norway, Iceland, Liechtenstein kini tanpa cukai. Ini bermakna produk kita lebih kompetitif dan lebih mudah sampai ke pasaran mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata, perdagangan Malaysia dengan negara-negara EFTA ini mencecah RM14.4 bilion.

“Bukan itu saja, MEEPA juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anda. 

“Setakat ini, syarikat dari negara-negara EFTA telah melabur RM14.2 bilion di Malaysia dan mencipta 24,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia juga akan bekerjasama dalam bidang teknologi, inovasi, dan pembangunan modal insan. 

“Ini adalah persediaan kita untuk masa depan yang lebih cerah. Dengan MEEPA, Malaysia akan terus melangkah maju ke persada dunia,” katanya.

MEEPA ditandatangani oleh Tengku Zafrul bersama rakan sejawatnya dari EFTA baru-baru ini iaitu Menteri Perdagangan dan Industri Norway, Cecilie Terese Myrseth; Menteri Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi Iceland, Daði Már Kristófersson; Timbalan Perdana Menteri Liechtenstein, Sabine Monauni; dan Naib Presiden Majlis Persekutuan Switzerland, Guy Parmelin.

Perjanjian ini juga menandakan FTA pertama Malaysia dengan negara Eropah bukan EU, dan dijangka memacu semula rundingan ke arah FTA Malaysia–EU dalam masa terdekat.

MEEPA merangkumi pelbagai skop termasuk barangan, perkhidmatan, pelaburan, harta intelek, pemudahan kastam, perolehan kerajaan, pembangunan mampan serta kerjasama ekonomi.-BH Online