Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAPIT: Jabatan Kerja Raya (JKR) disarankan lebih giat menerapkan penggunaan teknologi moden seperti ‘Building Information Modeling (BIM)’ dan ‘digital twinning’ dalam pelaksanaan projek mega seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo serta pembinaan jalan luar bandar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penggunaan teknologi itu penting dalam memastikan kualiti, kecekapan dan kos pelaksanaan berada pada tahap optimum.

“Teknologi ini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan. Saya menyeru supaya JKR Sarawak dan semua agensi berkaitan menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Kerja Raya untuk melaksanakan projek perintis di Kapit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2025 Peringkat JKR Bahagian Kapit di sini, malam tadi.

Majlis julung kali anjuran JKR Bahagian Kapit itu dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, serta Pengarah JKR Negeri Sarawak, Cassidy Morris.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pelaksanaan projek infrastruktur seharusnya dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif melibatkan semua pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, komuniti dan kontraktor.

“Saya menyeru semua pihak dapat bekerjasama secara erat, memastikan penyampaian projek tidak tertangguh serta menyelesaikan sebarang isu teknikal dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Kerja Raya akan terus komited memperluas jaringan jalan persekutuan dan negeri, selain memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara efisien dan berimpak tinggi.

“Kami akan menggunakan dana secara telus dan menyeluruh untuk manfaat jangka panjang rakyat luar bandar, khususnya di Kapit dan Sarawak,” katanya.-BH Online