Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia esok dan dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden, Prabowo Subianto.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara bagi memperkukuhkan hubungan dua hala yang sedia rapat dan telah lama terjalin, khususnya di peringkat tertinggi kepimpinan.

“Lawatan ini juga merupakan manifestasi balas ke atas lawatan-lawatan oleh Presiden Prabowo ke Malaysia pada tahun ini dalam konteks hubungan dua hala serta penyertaan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei lalu.

“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala, menyusuli hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, serta bertukar pandangan mengenai perkembangan isu-isu serantau dan global yang berkepentingan bersama,” menurut Wisma Putra.

Tambah kenyataan itu, lawatan berkenaan juga merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

Semasa lawatan kerja itu juga, Datuk Seri Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut mengiringi Perdana Menteri, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada tahun lepas, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

Dagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion pada tahun lalu, berbanding RM111.21 bilion pada tahun 2023. -Berita RTM