Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Jumlah permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pengambilan Julai meningkat kepada 189,304 orang berbanding sasaran pengambilan 150,000 orang. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peningkatan itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap laluan pendidikan teknikal yang kini diarusperdanakan sebagai satu daripada teras pembangunan negara.

“Bagi pelajar yang mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi tidak dapat memasuki mana-mana universiti disebabkan tempat penuh, kita ingin menawarkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Ada enam universiti di bawah MTUN ini tetapi kita mempelawa pelajar memohon pengajian di dua IPT di bawah Kementerian Kewangan dan Dasar Wilayah (KKDW) iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) untuk mereka memilih kursus yang diminati dan bersesuaian.

“Jadi, bagi mereka yang tidak dapat masuk, kita akan tawarkan peluang ini. Ini untuk semua bangsa,” katanya berkata demikian mengulas rekod permohonan setakat ini yang diterima sebelum tarikh tutup 30 Jun ini. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi TVET Negara berkata, unjuran itu berdasarkan jumlah permohonan yang diterima sejak proses pengambilan itu diselaraskan menerusi Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) bermula April lalu.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis Peluncuran Program Desa Kirana@KKDW di Hotel Sunway Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar (MEXCLUB) Bilangan 1 Tahun 2025 pada majlis sama. 

Ahmad Zahid berkata, kursus yang ditawarkan di UniKL adalah dalam bidang teknikal, manakala kursus di UPTM pula dalam bidang profesional.

Katanya, mana-mana pelajar dengan kelulusan yang baik dalam STPM boleh memohon untuk memasuki kursus asas di UniKL atau UPTM.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai mesyuarat penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar yang kali kedua akan diadakan di Perak pada November ini.

“Mesyuarat penyelarasan ini penting untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang lebih erat di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berkaitan pembangunan luar bandar.

“Ia juga penting bagi memantau dan memastikan program atau projek pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya memberi impak kepada kumpulan sasar,” katanya. 

Katanya, MEXCLUB adalah selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat, kemakmuran bersama dan keadilan sosial di mana setiap usaha serta inisiatif bertujuan meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar.

Ia juga memupuk tanggungjawab bersama serta mewujudkan masyarakat yang inklusif dan sejahtera.

Keahlian MEXCLUB membabitkan EXCO Luar Bandar, wakil daripada Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi (KE) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri serta jabatan atau agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi di bawah portfolio dan seliaan Timbalan Perdana Menteri.-BH Online