KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sesetengah pihak tertentu, khususnya golongan terpelajar yang kononnya bersuara mengenai reformasi, tetapi berdiam diri apabila tindakan antirasuah diambil terhadap individu tertentu.
Perdana Menteri berkata, sikap sedemikian mencerminkan ketidakkonsistenan dalam kempen antirasuah yang diperjuangkan mereka ketika tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
“Saya rasa pelik dan melihat ia sangat hipokrit apabila bercakap tentang rasuah, contohnya berkata kepada seorang bekas Perdana Menteri, tetapi mengabaikan mereka yang sudah merompak berbilion ringgit.
“Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mereka, tidak ada sepatah sokongan pun. Apa salahnya sistem kita? Kita patut boleh bersuara.
“Saya tak kata kita harus terbabit dalam politik partisan, tetapi perlu fokus pada etika dan nilai. Hanya kerana jutawan menyokong anda, organisasi atau parti anda, itu tidak bermaksud kita harus tutup mata terhadap salah laku masa lalu,” katanya dalam ucaptama ASEAN Symposium 2025 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar berkata, sesetengah pihak turut bersuara untuk kepentingan sendiri dan mahukan tindakan mengikut kehendak mereka dalam setiap reformasi yang dilakukan.
“Jadi bagaimana kita mahu uruskannya? Contohnya, apabila seorang individu dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), Perdana Menteri dihentam oleh satu kumpulan. Minggu berikutnya, orang lain pula kena DNAA, PM juga dihentam oleh kumpulan lain.
“Mereka bercakap mengenai kebebasan kehakiman, tetapi mahu mengikut kehendak sendiri. Ini diktator kehakiman.
“Apa yang anda mahu? Mahu saya jadi diktator? Suruh hakim putuskan ikut pandangan peribadi kamu? Ini bukan kebebasan. Sebahagiannya setuju, sebahagian tidak. Tapi inilah maksud kebebasan kehakiman.
“Kuasa eksekutif ada batas kerana adanya prinsip pemisahan kuasa-bukan hanya diambil dari Barat atau Montesquieu. Kita juga ada sejarah seperti Sayyidina Ali yang berhadapan dengan mahkamah bebas,” katanya.
Tambah beliau, rasuah hari ini sudah menjadi endemik dalam sistem dan ia bermula dengan kepemimpinan yang mengejar kepentingan tertentu.
“Kita mahu pacu pertumbuhan yang boleh digunakan untuk manfaat masyarakat dan kemanusiaan. Ia berlandaskan idealisme, nilai dan etika kukuh. Tapi bila masuk generasi seterusnya, nilai itu mulai luntur.
“Kita hilang idealisme apabila golongan berkuasa mahukan kekayaan, manakala golongan elit pula, atas alasan tertentu, menyokong satu pihak atau obses dengan kepentingan tertentu sehingga mengabaikan keseluruhan kerumitan ekonomi. Ia menyebabkan rasuah menjadi endemik dalam sistem,” katanya.-BH Online