PUTRAJAYA: Malaysia senada dengan Kyrgyz supaya komuniti antarabangsa mengiktiraf semula Afghanistan sebagai langkah penting ke arah kestabilan serantau, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, penerimaan Afghanistan dalam komuniti antarabangsa perlu disokong dengan semangat keterbukaan, meskipun memerlukan beberapa pemerhatian tertentu.
“Sebagai negara yang lebih hampir dengan Afghanistan, Kyrgyz mempunyai kefahaman lebih mendalam terhadap keadaan sebenar di sana.
“Justeru, pandangan dan nasihat anda amat berharga buat kami,” katanya pada sidang media bersama Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov, sempena lawatan rasminya ke Malaysia di sini, hari ini.
Taliban kembali menguasai Afghanistan pada 15 Ogos 2021 selepas kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) tumbang manakala pemimpinnya melarikan diri.
Bagaimanapun, kerajaan mereka sehingga kini tidak diiktiraf oleh mana-mana negara dengan kebanyakan dasar dibawa pentadbiran itu dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Anwar turut menyentuh krisis berpanjangan yang melanda Gaza dan Palestin, dengan menegaskan Malaysia bertegas mahukan Israel menghentikan segala bentuk keganasan, penjajahan serta genosid terhadap rakyat Palestin.
Katanya, rakyat Gaza terus menderita kerana kegagalan masyarakat antarabangsa mempertahankan prinsip hak asasi manusia yang paling asas.
“Ada percanggahan dan hipokrasi dalam kalangan banyak negara Barat apabila berdepan dengan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan Gaza,” katanya.
Mengenai pertemuannya dengan Zhaparov, Anwar turut memaklumkan perbincangan dengannya Presiden Iran yang antara lain menyentuh sokongan terhadap usaha perdamaian serta hak Iran mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel.
“Saya ada berhubung dengan Emir Qatar atas peranan penting mereka dalam menjayakan gencatan senjata antara Iran dan Israel, selain menerima mesej peribadi daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman,” katanya.
Sementara itu, Zhaparov menyeru semua pihak untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, sebaliknya, menyelesaikan krisis di Asia Barat secara aman.
Beliau melahirkan kekesalan dengan konflik di Gaza yang masih berterusan.
“Sebagai negara anggota PBB, kami percaya kita semua bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian kolektif terhadap konflik ini secara damai.
“Sebagai tanda sokongan, Kyrgyz mendukung usaha bersepadu komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, bagi dihentikan segera permusuhan, menangani krisis kemanusiaan di Gaza, memulakan dialog politik, dan menyelesaikan konflik Palestin-Israel berdasarkan resolusi PBB,” katanya.-BH Online