Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan semua penerbangan pulang jemaah haji dari Malaysia tidak terjejas susulan konflik yang sedang memuncak antara Iran dan Israel di Asia Barat.

Menurut TH, sehingga kini sebanyak 42 penerbangan selamat tiba di tanah air, manakala satu lagi penerbangan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.10 tengah hari, hari ini.

“Tidak terjejas (penerbangan) setakat ini. Baki 57 penerbangan pulang sedang giat dijalankan setiap hari mengikut jadual,” kata TH kepada BH hari ini.

Semalam, TH dalam satu kenyataan memaklumkan dua penerbangan pulang jemaah haji dijadualkan semula atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan.

Katanya, penerbangan yang dijadual semula ialah KT043 (MH8301) jam 5.10 pagi waktu tempatan dari Madinah dan KT034 (MH8291) Jeddah, jam 6.40 pagi.

“Semua jemaah terbabit ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi memastikan kebajikan serta keselesaan mereka,” kata,

Dalam perkembangan berkaitan, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, memaklumkan seramai 22 jemaah umrah di bawah kelolaannya selamat berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini.

“Jemaah yang diketuai mutawif, Nur Muhamad Ishak transit di Doha dan selamat tiba di Lapangan Terbang Doha pada jam 5.15 pagi, waktu Qatar hari ini.

“Bagi penerbangan Qatar Airways berjalan seperti dijadual dan tiada sebarang masalah jemaah terkandas yang dilaporkan sebelum ini,” menurut Andalusia di Facebook rasmi.

Agensi lain seperti Mantop Travel turut mengesahkan bahawa operasi penerbangan umrah masih berjalan lancar dan tiada sebarang arahan pembatalan atau sekatan daripada pihak berkuasa dalam dan luar negara.

“Insya-Allah kita akan sentiasa mengikuti arahan semasa oleh Wisma Putra berkaitan dengan soal keselamatan di sana.

“Setakat ini, masih belum ada arahan untuk penutupan atau pemberhentian perjalanan ke Asia Barat kecuali pada negara-negara tertentu sahaja,” menurut agensi itu dalam hantaran di Facebook semalam.

Media melaporkan, beberapa negara Arab menutup ruang udara mereka buat sementara waktu lewat malam Isnin sebagai langkah berjaga-jaga selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.

Kementerian Luar Qatar mengumumkan penutupan ruang udaranya bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di tengah-tengah situasi serantau yang semakin tidak menentu.-BH Online