SINGAPURA: Bantuan Malaysia memindahkan seorang rakyat Singapura keluar dari Iran di tengah-tengah konflik meruncing kini, bukan saja mengukuhkan hubungan erat dan berpanjangan antara kedua-dua negara, malah menjadi bukti solidariti ASEAN, kata Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Dalam sepucuk surat kepada rakan sejawatnya di Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, Balakrishnan menekankan bahawa sokongan itu juga adalah contoh nyata kepentingan Garis Panduan ASEAN mengenai Bantuan Konsul untuk Negara Anggota dalam usaha bersama membantu rakyat masing-masing.
“Waktu sukar mendedahkan siapa sahabat sejati.
“Kami amat menghargai kesediaan kerajaan anda untuk menghulurkan bantuan ketika krisis,” tulisnya dalam surat itu.
Salinan surat itu turut dikongsikan Balakrishnan dalam Facebook beliau, malam tadi.
Beliau sekali gus menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia serta Oman atas sokongan amat bernilai dalam memindahkan rakyat Singapura keluar dari Iran dengan selamat.
Dalam surat itu, beliau memaklumkan, tindakan pantas dan profesional oleh Bahagian Konsul Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dan Ashgabat telah membolehkan Singapura melaksanakan pelan pemindahan dalam keadaan yang mencabar.
“Bantuan segera mereka, terutama dalam mendapatkan penginapan, pengangkutan dan permit masuk ke Turkmenistan, amat penting dalam memastikan keselamatan rakyat kami,” katanya.null
Sementara itu, Balakrishnan turut menulis surat berasingan kepada Menteri Luar Oman, Badr Hamad al-Busaidi, bagi menyampaikan penghargaan atas bantuan pantas dan berkesan negara berkenaan.
Beliau berkata, Singapura terus bimbang akan peningkatan ketegangan di Asia Barat, dan pelbagai usaha pengantaraan termasuk oleh Badr adalah penting untuk mengurangkan ketegangan.
Terdahulu, Kerajaan Singapura merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Oman kerana membantu memudahkan kepulangan rakyatnya dari Iran dengan selamat.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar Singapura berkata, seorang rakyatnya dipindahkan dari Iran ke Ashgabat, Turkmenistan, bersama sekumpulan rakyat Malaysia dan warga asing lain dengan bantuan Kerajaan Malaysia.
Selain itu, sebuah keluarga membabitkan tiga rakyat Singapura telah dipindahkan dari Tehran ke Muscat dengan bantuan Kerajaan Oman.
Singapura tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Iran.-BH Online