Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan rombakan insentif cukai modal teroka (VC) untuk mengukuhkan ekosistem modal teroka di negara ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata skim insentif cukai baharu itu termasuk kadar cukai konsesi sebanyak lima peratus sehingga 10 tahun bagi entiti dana yang layak melabur sekurang-kurangnya 20 peratus daripada dana mereka dalam syarikat permulaan tempatan.

Katanya, ia juga termasuk kadar cukai 10 peratus untuk syarikat pengurusan VC dan ekuiti swasta (PE) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tertakluk kepada memenuhi keperluan yang diperlukan.

“Insentif itu kini dilanjutkan kepada struktur kerjasama liabiliti terhad (LLP) dalam negeri, meluaskan lagi asas pelabur bagi memperdalam kumpulan modal sedia ada untuk syarikat permulaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman pelantikan lima pengurus dana di bawah Program Pengurus Dana Baru Muncul (EMP) dan Inisiatif Pengurus Dana (RMI) Jelawang Capital, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd dan National Fund-of-Funds di bawah Dana Impak, di sini, hari ini.

Daripada lima pengurus dana yang diumumkan itu, tiga dipilih di bawah EMP iaitu Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move, manakala dua firma serantau dipilih sebagai rakan kongsi strategik di bawah RMI iaitu AppWorks dan Granite Asia.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pada masa sama juga akan memudahkan proses permohonan yang lebih cekap dan mesra pelabur di bawah Rangka Kerja Dasar Pertukaran Asing (FEP).

Beliau berkata, firma VC dan PE kini boleh memohon berdasarkan saiz mandat dana mereka, bukannya berdasarkan transaksi, untuk pengumpulan dana rentas sempadan dan pelaburan yang melebihi standard FEP.

“Ini menyelaraskan operasi VC dan PE, membolehkan modal bergerak lebih cekap merentasi sempadan Malaysia dan meningkatkan daya saing serantau kita,” katanya.

Amir Hamzah berkata, pembaharuan itu menandakan kemajuan yang bermakna dalam menjadikan Malaysia sebagai hab kompetitif global untuk usaha niaga dan modal swasta.

Beliau berkata, ia adalah keberanian untuk melakukan pembaharuan dan membolehkan untuk menterjemahkan cita-cita kepada akses dan potensi kepada kerjasama.

Namun, tegasnya, tugas kerajaan bukan untuk mendominasi, tetapi untuk membolehkan, bukan untuk menyesakkan pasaran, tetapi untuk membuka potensinya.

Katanya, dengan Jelawang Capital, ia bukan saja membiayai syarikat permulaan, tetapi juga menggalakkan mereka merentas sempadan, menyelesaikan masalah sebenar dan mencipta pekerjaan sebenar.

“Kami mahukan ekosistem di mana graduan universiti dengan idea yang berani boleh mencari pembiaya, mentor, laluan kawal selia dan pasaran. 

“Pengasas dari Malaysia boleh mengumpul modal secara tempatan, mendapat manfaat daripada ekosistem Malaysia yang kondusif, berskala serantau di seluruh Asia, dan akhirnya disenaraikan di Kuala Lumpur,” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata lima pengurus itu dijangka melabur lebih RM200 juta, dengan sebahagian besar daripadanya akan disalurkan ke dalam syarikat Malaysia-Nexus, menyokong sekitar 50 firma peringkat awal.

Beliau berkata, melangkaui modal, pengurus terpilih, terutamanya di bawah RMI, juga komited terhadap program pembinaan kapasiti untuk pengasas Malaysia, termasuk bimbingan, pemecut dan kelas induk mulai 2025.

“Kelima-lima ini mewakili gabungan tempatan dan serantau, malah yang paling penting, penjajaran nilai. Mereka akan menyokong syarikat baharu yang berani membina, yang berani untuk berskala, dan yang membawa cita-cita Malaysia ke rantau ini dan seterusnya,” katanya.

Lima firma VC yang diumumkan itu telah dipilih melalui satu proses penilaian yang menyeluruh dan ketat, berasaskan tesis dana pelaburan, keupayaan pasukan teras, tahap tadbir urus yang mantap serta sejauh mana penjajaran mereka dengan keutamaan pembangunan strategik negara.-BH Online