KUALA LUMPUR: Seramai 231 anggota tentera menyertai Program Diploma Work Based Learning (WBL 2.0) Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kohort pertama program itu terdiri daripada 139 Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (42) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) (50).
Mereka akan memulakan pengajian selama enam bulan mulai bulan ini.
Program WBL 2.0 adalah satu pendekatan akademik inovatif yang dirangka khusus bagi mengiktiraf kemahiran, pengalaman kerja dan kepakaran anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik tanpa keperluan kehadiran fizikal ke kuliah secara berkala.
Kelayakan diploma akan dianugerahkan berdasarkan penilaian profesional yang memenuhi piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sebagai institusi rakan strategik, UPNM merupakan universiti terawal yang berjaya membangunkan tiga diploma melalui pendekatan WBL 2.0.
Tiga program ditawarkan adalah Diploma Pengurusan Logistik (DPL), Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP) dan Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan (DPTP).
Ketiga-tiga program itu diluluskan oleh MQA dan dirangka khusus mengikut trend kerjaya serta keperluan sebenar perkhidmatan tentera.
Inisiatif itu diyakini mampu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran anggota ATM termasuk selepas tamat perkhidmatan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), MINDEF, Datin Roszanina Wahab, berkata program itu adalah manifestasi komitmen kementerian memperluas akses pendidikan tinggi kepada anggota ATM.
Katanya, ia juga sebagai satu pelaburan strategik dalam pembangunan sumber manusia pertahanan negara yang lebih relevan, inklusif dan berdaya saing.
“Saya yakin kemampuan UPNM sebagai peneraju pendidikan pertahanan yang responsif dan progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program WBL 2.0 MINDEF di Dewan Theatrette, Bangunan Lestari di UPNM di sini, Khamis lalu.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad menyifatkan kejayaan pelaksanaan program itu sebagai satu lonjakan strategik yang selari dengan aspirasi UPNM30.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan, ATM dan MQA atas kerjasama padu yang diberikan.
“Kegigihan warga UPNM menjadikan UPNM trailblazer dalam penawaran program Diploma Work-Based Learning 2.0 sekali gus memperkukuh imej UPNM sebagai institusi pendidikan pertahanan yang unggul,” katanya.
Beliau berkata, UPNM melihat pelaksanaan program itu bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi juga satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan kapasiti pertahanan melalui sektor pendidikan tinggi negara yang holistik, inklusif dan mampan.
Mahu jadi ‘role model’
Sementara itu, mahu menjadi role model kepada anggota lain, Pegawai Waran I PNK Mohammad Jefri Ismail menyambung pengajian dalam DPP.
Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Pangkat di Markas Tentera Laut-Cawangan Sumber Manusia LLP berkata, usia 43 tahun bukan halangan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bapa kepada empat anak itu bersyukur kerana pegawai dan ahli keluarga banyak memberi sokongan menyambung pengajian di UPNM itu.
“Sebelum ini saya tidak pernah langsung terfikir menyambung pengajian dan apabila melihat tawaran ini tanpa berfikir panjang saya terus buat permohonan.
“Program ini memberi peluang kepada saya meningkatkan tahap pencapaian akademik sedia ada,” katanya yang sudah 23 tahun berkhidmat dalam bidang ketenteraan.
Bagi Staf Sarjan Siti Nur Aini Jasni, 40, berkata menjadi Ketua Jurulatih Tim Akrobatik Army Read Warrior dan pada masa sama, ibu kepada dua anak berusia 17 dan 18 tahun bukan penghalang untuk menyambung pengajian.
Siti Nur Aini bertugas di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) Kem Genting Klang, berkata tujuannya menyambung pengajian dalam DPP itu juga sebagai motivasi kepada anaknya.
“Selain bertugas sebagai ketua jurulatih, saya juga menjadi pengacara majlis dan jadual kerja memang tidak menentu.
“Bagaimanapun, kerana melihat ada peluang menyambung pelajaran dan untuk menambah ilmu serta kemahiran, saya ketepikan semua kekangan dan akan berusaha membahagikan masa sebaiknya,” katanya turut berharap usaha menyambung pengajian itu menjadi inspirasi kepada wanita lain.
Malah katanya, berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma itu juga merealisasikan impiannya untuk menyambung pengajian sebelum ini.
Pegawai Waran Udara Mohd Rashidi Md Tahir, 43, berkata peluang menyambung pengajian itu amat baik kerana akan membantu memberi peluang kerjaya selepas bersara nanti.
Mohd Rashidi yang sudah 25 tahun berkhidmat dan akan bersara pada Oktober tahun hadapan berkata, dengan menyambung pengajian itu juga akan memberi peluang keemasan menaik taraf pendidikan.
“Apabila ada diploma ia akan memudahkan untuk mendapat kerja selepas bersara nanti sekali gus memberi jaminan masa hadapan yang lebih baik,” katanya yang bertugas di Markas TUDM.-BH Online