PUTRAJAYA: Kerajaan komited mengurangkan jumlah hutang negara selaras dengan pendekatan reformasi fiskal di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang sedang dilaksanakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, walaupun suasana ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, dengan prestasi pengurusan hutang negara menunjukkan perkembangan positif.
“Banyak pihak bercakap mengenai hutang negara seolah-olah kita menambah beban, sedangkan kita sebenarnya berjaya mengurangkan hutang tahunan secara konsisten. Pada 2022, hutang baharu sekitar RM100 bilion, turun kepada RM90 bilion pada 2023, RM85 bilion pada 2024 dan unjuran tahun ini ialah RM80 bilion.
“Kita sudah kurangkan hampir RM20 bilion dalam tempoh beberapa tahun. Ini bukan retorik, tetapi hasil pengurusan fiskal berhemah dan disiplin perbelanjaan yang kita amalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, langkah kerajaan menurunkan kadar defisit negara daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024 dan unjuran 3.8 peratus tahun ini menjadi bukti keupayaan kerajaan mengurus perbelanjaan secara bertanggungjawab.
“Saya tahu ada yang bertanya, kenapa nak turunkan defisit sangat?. Sebab kalau kita biarkan, keyakinan pelabur dan pasaran tidak akan pulih.
“Tugas kerajaan bukan sekadar berbelanja, tetapi mengurus supaya ada pulangan kepada rakyat.
“Pengukuhan ringgit juga jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pelaksanaan pembaharuan Ekonomi Madani yang digerakkan kerajaan ketika ini. Setakat 18 Jun lalu, ringgit mengukuh 5.2 peratus ketimbang dolar Amerika Syarikat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melalui Misi Artikel IV 2025 turut memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal dengan menyifatkan pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 sebagai tonggak penting reformasi fiskal negara.
“Saya tahu ada pihak persoal kenapa ada rundingan dengan IMF. Tapi sejak merdeka, setiap kerajaan yang jadi ahli IMF wajib lalui proses ini. Hakikatnya, IMF beri penilaian positif terhadap dasar fiskal kita,” katanya.
Beliau turut menempelak tindakan sesetengah pihak yang hanya riuh apabila berlaku kelemahan, tetapi senyap apabila pencapaian dicapai.-BH Online