PUTRAJAYA: Usaha memastikan akses pendidikan sampai ke pelusuk negara, termasuk kawasan pedalaman dan terpencil, kini menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menjayakan pendidikan holistik berteraskan prinsip inklusif untuk semua.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pendekatan semasa tidak lagi boleh terbatas kepada penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya mesti mengambil kira realiti murid yang berdepan cabaran geografi dan kos pengangkutan tinggi.
“Kita mahu lihat bagaimana pembangunan anak-anak ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Akses pendidikan adalah hak semua murid tanpa mengira di mana mereka berada.
“Kalau mereka tidak mampu datang ke sekolah, maka kita perlu membawa sekolah kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Fadhlina berkata, antara langkah sedang diteliti kementerian adalah pelaksanaan ‘floating school’ atau sekolah terapung, khusus bagi kawasan seperti Tasik Banding, yang dikenal pasti memiliki keperluan mendesak dari segi akses pendidikan.
“Difahamkan ada juga kos untuk ke sekolah di sebuah kawasan (terpencil) boleh mencecah RM30 sehari bagi seorang murid. Ini satu beban besar untuk keluarga dan mengakibatkan anak-anak terpaksa tercicir,” katanya.
Beliau berkata, kementerian kini meneliti model terbaik untuk memastikan pelaksanaan sekolah terapung dapat direalisasikan dengan berkesan dan mendapat sokongan semua pihak, termasuk komuniti setempat serta rakan strategik pendidikan.
“Kita sedang melihat model terbaik dan memerlukan sokongan semua pihak untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pendidikan tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi kebajikan murid, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan menyeluruh.
“Kita bukan sahaja membina sekolah, tetapi membina masa depan anak-anak ini. Itu yang lebih penting,” katanya.-BH Online