Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan pembinaan tembok sempadan Malaysia-Thailand bagi mengatasi kes jenayah rentas sempadan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan mahu memastikan sempadan negara benar-benar selamat dan terpelihara bukan sahaja membabitkan kes dadah malah juga penyeludupan bahan terlarang lain.

Katanya, kerajaan mengalu-alukan pandangan dan cadangan pelbagai pihak kerana mahu memastikan sempadan selamat dan tidak mudah dibolosi dengan mudah.null

“Kita juga sentiasa meningkatkan kawalan sempadan dari semasa ke semasa membabitkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) khusus membabitkan penyeludupan dadah.

“Selain itu, agensi penguatkuasa yang menjaga sempadan menyedari bahawa sentiasa ada helah baharu yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk membolosi sempadan, namun mereka terus memperketatkan operasi bagi menangani masalah terbabit.

“Aspek kawalan sempadan diberi keutamaan oleh KDN dengan bantuan pelbagai agensi penguatkuasaan bukan sahaja di Kelantan, malah di negeri-negeri lain juga,” katanya dalam sidang media selepas Program Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Negeri Kelantan di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarat Negeri Kelantan, Zamakshari Muhammad serta Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah.null

Shamsul Anuar berkata kawalan sempadan yang dijalankan turut memberi impak positif kepada kes dadah apabila statistik tangkapan semakin berkurangan untuk tahun ini bermula Januari sehingga Mac berbanding tahun lalu.

“Seramai 108,409 penagih dan penyalah guna dadah atau bahan dikesan di seluruh negara. Data berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 121,170 bagi tempoh sama pada tahun lalu di seluruh negara. 

“KDN juga mengharapkan kerjasama masyarakat setempat untuk membantu menangani masalah dadah terutama di sempadan negara dan tidak hanya bergantung harap kepada agensi berkaitan,” katanya.-BH Online