Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbang untuk membenarkan rakyat menggunakan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai premium bulanan insuran kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jika dilaksanakan, 16 juta ahli KWSP berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman mereka.

Pendekatan dicadangkan itu diguna pakai beberapa negara lain yang mahu majoriti rakyat mendapat perlindungan insuran sewajarnya.

Ini memandangkan 32 peratus kos jumlah penjagaan kesihatan di negara ini, didapati dibayar sendiri pesakit bukan dilindungi insuran.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly menegaskan skim ini hanya diberikan sebagai pilihan dan bukan diwajibkan.

“Satu peratus yang kecil untuk digunakan bagi pembayaran insurans. Mereka tak rasa pun, mereka tak bayar daripada duit poket dia. Ia daripada akaun KWSP. 

“Ini cara yang paling baik, jadi akhirnya rakyat kita semua akan mempunyai perlindungan seperti Singapura. Tapi kita tak boleh paksa, ada negara paksa,” katanya kepada TV3.

Tambah Dr Dzulkefly, pilihan wajar diberi kerana terdapat ahli yang mungkin mahukan perlindungan insuran lebih meluas di pasaran.

Skim baharu ini juga berbeza dengan inisiatif i-Lindung yang sedang dilaksana bersama KWSP yang mana perlindungan di bawah skim itu hanya untuk keilatan, penyakit kritikal dan perlindungan hayat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga bakal memperkenal inisiatif rakan KKM seawal suku ketiga tahun ini.

“Contohnya hospital di Putrajaya, Cyberjaya mereka ada cabang wad yang ada kapasiti yang tidak diguna pun… kadang kala ada bilik bedah yang tidak digunakan sebab tidak ada cukup kakitangan. 

“Oleh sebab itu, fasiliti-fasiliti ini yang disebut sebagai lebihan kapasiti,” jelasnya.

Setakat ini, beliau berkata KKM mendapat kerjasama empat hospital iaitu Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Institut Kanser Negara (IKN).

“Pada waktu sama juga kita wujud lebih banyak ruang… (maksudnya) orang (pesakit) dah pergi kepada rakan KKM, (sudah) tentu ada ruang (lebih banyak) untuk golongan B40. 

“Mereka (B40) ini akan menikmati lebih ruang, lebih banyak slot untuk jumpa doktor bagi golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam untuk ke kemudahan awam. 

“Justeru, ini adalah sistem yang kita nak bina,” katanya lagi.

Tambah Dr Dzulkefly, sejumlah 40 hospital awam dengan kapasiti 800 katil juga dikenal pasti untuk menyertai inisiatif rakan KKM ini secara berperingkat.

Ia membabitkan pelaburan RM85 juta termasuk suntikan RM25 juta di bawah Belanjawan 2025.-BH Online