Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyalurkan bantuan kewangan RM150,000 kepada 500 pesakit dialisis dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan bagi tujuan pengangkutan ke pusat dialisis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sumbangan itu disalurkan melalui dana dua pemegang wakalah zakat MAIWP iaitu Bursa Malaysia dan Grab Malaysia masing-masing menyumbang RM100,000 dan RM50,000.

Beliau berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban kos pengangkutan pesakit yang perlu berulang alik ke pusat rawatan secara kerap.

“Setiap penerima menerima baucar Grab bernilai RM300 yang boleh digunakan untuk perjalanan ke dan dari pusat hemodialisis secara lebih efisien, selamat serta berjadual.

“Sumbangan ini mungkin tidak sebesar mana, tetapi harapan saya ia dapat memudahkan urusan pesakit supaya dapat lebih fokus kepada rawatan,” katanya 

pada Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Batu Muda di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Datuk Prof Dr Noor Inayah Yaakub; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed serta Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor.

Sementara itu, Fad’l berkata, Bursa Malaysia akan terus berperanan aktif memanfaatkan instrumen zakat dan menggalakkan syarikat tersenarai awam untuk terus memberi manfaat kepada komuniti

“Kami percaya kejayaan sesebuah syarikat bukan sekadar diukur melalui prestasi kewangan atau kecemerlangan operasi, tetapi juga melalui usaha menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta memperkukuh amalan kemampanan.

“Sumbangan dana wakalah zakat adalah sebahagian komitmen Bursa Malaysia untuk menyokong inisiatif yang memberi impak positif.

“Kerjasama bersama PPZ-MAIWP adalah satu contoh bagaimana zakat boleh disalurkan secara efektif membantu meringankan beban golongan memerlukan,” katanya.-BH Online