Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai zon ekonomi luar biasa kerana membabitkan kerjasama rentas sempadan, sekali gus memberi tanda aras baharu dalam kerjasama ekonomi dua hala.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Singapura meningkatkan minat antarabangsa terhadap JS-SEZ.

“Jangan memandang rendah kepentingan JS-SEZ. Ini bukan SEZ biasa dan telah menarik minat pelabur-pelabur dari Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah serta meletakkannya sebagai lokasi pelaburan global baharu.

“Ini zon ekonomi yang membabitkan dua negara, dibina sepenuhnya atas kepercayaan dan semangat bekerja sebagai satu pasukan yang hebat. Ini yang membuatkan JS-SEZ unik,” katanya ketika berucap pada Forum Nikkei Medini, Johor 2025 di sini, hari ini.

Anwar berkata, kemajuan JS-SEZ bersandarkan dasar yang jelas, kestabilan politik dan sokongan institusi daripada pihak berkuasa Persekutuan dan negeri.

Katanya, ini termasuk Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang baharu ditubuhkan dengan peranan mempunyai pelbagai perkhidmatan memudahkan dan mempercepatkan prosedur kelulusan pelaburan.

“Setiap mesyuarat membawa tuntutan baharu. Jika mereka tidak mendapat kelulusan di peringkat negeri, mereka datang kepada kami dan kami memudah cara, bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk kebaikan dan manfaat lebih besar. 

“Sebab itu pusat ini menjadi contoh untuk diikuti agensi negeri dan Persekutuan,” katanya.

Anwar turut mengiktiraf sumbangan Iskandar Investment Bhd (IIB), Khazanah Nasional dan kerajaan negeri dalam merealisasikan JS-SEZ.-BH Online