Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Beberapa perjanjian utama berkaitan pelaburan di Malaysia dijangka dimeterai bersempena Energy Asia 2025 yang berlangsung di ibu negara bermula 16 hingga 18 Jun 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan besar dijangka itu membabitkan syarikat minyak dan gas terkemuka dunia seperti TotalEnergies dan syarikat tenaga bersepadu Itali, Eni.

Malah, katanya, dengan komitmen pelaburan yang besar oleh syarikat minyak terkemuka dunia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan PETRONAS.

“Keyakinan pelabur besar TotalEnergies, Eni daripada Itali dan Aramco menunjukkan bahawa keyakinan kepada keupayaan PETRONAS. Amat menggembirakan petang ini dan esok kita akan saksikan beberapa perjanjian utama mengenai pelaburan di Malaysia.

“Jadi, Alhamdulillah keadaan ini menunjukkan keyakinan dan keupayaan kita untuk cepat meningkat sebagai satu hab tenaga di rantau ini,” katanya ketika ditemui di Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Dianjurkan oleh PETRONAS dan Rakan Kongsi Pengetahuan, CERAWeek by S&P Global, Energy Asia 2025 dengan tema ‘Delivering Asia’s Energy’ menghimpunkan 38 industri dari lebih 60 negara.

Persidangan itu menarik kehadiran lebih 4,000 delegasi termasuk pembuat dasar, pemain industri dan profesional tenaga.

Energy Asia 2025 juga menjadi pentas perbincangan strategik yang menghimpunkan pelbagai pandangan dan pendekatan berkaitan peralihan tenaga yang adil di Asia, di tengah-tengah landskap geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.-BH Online