Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas undang-undang baharu itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember lalu, sudah menerima perkenan pewartaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengesahkan akta berkenaan kini menunggu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, untuk menetapkan tarikh kuat kuasanya. 

“Ia sudah pun diwartakan. Sekarang ini menunggu menteri (Fahmi) untuk menandatangani tarikh penguatkuasaan. Sebaik ditandatangani beliau, undang-undang itu akan berkuat kuasa dan kerajaan boleh serta-merta mengambil tindakan terhadap hantaran dalam talian yang melanggar undang-undang. 

“Undang-undang ini juga menetapkan tanggungjawab tertentu kepada penyedia platform,” katanya selepas Majlis Perasmian Akademi Perundangan Negara (APN) hari ini.

Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dan Rangka Kerja Pelesenan Media Sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan keselamatan pengguna platform media sosial dari jenayah siber. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata sebuah jawatankuasa bersama, iaitu Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, akan ditubuhkan bagi menentukan takrifan bagi bentuk kandungan bahaya dalam talian atau ‘online harms’. 

Menurut akta itu, menjadi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen untuk melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pengguna yang didedahkan kepada kandungan memudaratkan. 

Pemberi perkhidmatan juga perlu mengeluarkan garis panduan kepada pengguna termasuk syarat-syarat penggunaan sebagai panduan semasa menggunakan perkhidmatan berkenaan, selain diwajibkan mengemukakan Pelan Keselamatan Digital tahunan yang memperincikan strategi keselamatan serta pencapaian mereka dalam melindungi pengguna.

Secara umumnya juga, akta berkenaan menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya. 

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, secara peribadi, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang pindaan terhadap Kanun Keseksaan atau memperkenalkan undang-undang baru berkaitan kesalahan kematian cuai korporat (corporate manslaughter), susulan insiden kemalangan bas di Gerik, Perak yang meragut 15 nyawa baru-baru ini. 

“Bagi saya, korporat juga perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan pengangkutan yang mereka sediakan,” katanya turut menjelaskan di United Kingdom, satu undang-undang digubal bagi kesalahan kematian cuai korporat berikutan beberapa insiden kematian di tempat kerja yang berlaku di negara berkenaan.-BH Online