LUMUT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua menteri, pegawai tertinggi peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri, serta pelaksana dasar dan projek supaya kerap turun padang untuk memahami setiap masalah yang dihadapi rakyat.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu juga perlu dilaksanakan oleh semua Ahli Parlimen bagi memastikan setiap isu penduduk setempat dapat ditangani dengan lebih baik dan menyeluruh.
“Malah, penjawat awam yang kanan pun kita minta turun ke bawah… sebab itu kita ada Sejati MADANI dan Kampung Angkat MADANI di mana pegawai-pegawai tinggi termasuk menteri tahu ada ‘disconnect’ atau perbezaan daripada ungkapan dasar dengan apa yang kita laksanakan pada peringkat bawah.
“Apabila kita turun ke bawah, kita bincang soal pendidikan, pengangguran, dadah, kemudahan kesihatan dan projek ekonomi.
“Jadi, semua isu berkenaan mesti ditangani dengan baik kerana apabila dengar masalah itu, mungkin ia lain pada peringkat pusat dan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, di sini, hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, juga hadir.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan mendengar keluhan rakyat secara langsung seperti melalui penganjuran PMR atau sesi dialog antara pemimpin dengan rakyat, bagi mendapatkan maklum balas akan perkara yang perlu diperbaiki atau ditambah baik dalam setiap projek pembangunan.
Sebagai contoh, katanya, beliau memperoleh maklumat mengenai masalah tandas rosak di kebanyakan sekolah dan isu capaian Internet di institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi pertemuannya dengan orang ramai ketika program menyantuni rakyat di warung makan mahupun solat Jumaat.
Anwar berkata, langkah itu sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.
“Kita bercakap mengenai kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, Microsoft dan sebagainya tetapi masih terdapat isu tandas rosak serta tiada Internet… itu percanggahan besar sebab kita mahu menyediakan masa depan yang canggih, jadi prasarana asas mesti diselesaikan dahulu,” katanya.
Perak adalah lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk, dengan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai kementerian peneraju.-BH Online