Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyegerakan kelulusan bagi pembangunan pasukan dan Akademi Sepak Takraw.

Perdana Menteri berkata ia susulan kejayaan membanggakan yang ditonjolkan pasukan sepak takraw sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Saya setuju dengan saranan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) untuk menyokong pasukan dan pembangunan Akademi Sepak Takraw di negara ini.

“Pasukan ini mencatatkan prestasi membanggakan di peringkat rantau dan dunia serta menarik (minat) semua peringkat umur sama ada di bandar atau di desa.

“Hannah minta RM6 juta untuk pembangunan akademi itu, tapi kita akan runding lagi namun akan menyegerakan kelulusan supaya ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara yang diadakan di Dataran Merdeka, malam ini. 

Selain Hannah, hadir sama Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Mac lalu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengumumkan Stadium Jalan Raja Muda (SJRM) di Kampung Baru, Kuala Lumpur kini dinamakan sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia.

PSM sebelum ini merancang untuk menubuhkan sebuah akademi dengan langkah berkenaan dilihat mampu meningkatkan lagi kredibiliti sukan warisan itu. 

Selain bertujuan memperkemaskan lagi sistem pengurusan, ia turut menyaksikan sistem latihan skuad sepak takraw negara akan menjadi lebih sistematik dengan latihan dijalankan di bawah satu bumbung.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi pembangunan belia di negara ini. 

“Tahun lalu kita umumkan tambahan sebanyak RM3 juta kepada KBS dan kerana semangat yang ditunjukkan hari ini, pada tahun ini kita naikkan menjadi RM4 juta kepada belia Malaysia. 

“Kenapa kita boleh senang berikan (tambahan), kerana Kerajaan Madani cermat, tatakelolanya dijaga dan tidak izinkan pemimpinnya sakau duit rakyat,” katanya.-BH Online