BERUAS: Isu peningkatan harga minyak serta gangguan rantaian import makanan negara akibat konflik geopolitik global kini, dijangka dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau menjelaskan, krisis perang sedang berlaku termasuk membabitkan beberapa negara besar telah menjejaskan harga pasaran minyak global, sekali gus memberi kesan kepada kos makanan yang diimport Malaysia dari negara seperti India, Pakistan dan China.
“Kita belum bincang secara mendalam mengenai isu perang yang sedang berlaku, namun saya menjangka perkara berkaitan kesannya kepada Malaysia turut dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu akan datang.
“Walaupun saya belum tahu tajuk rasmi (agenda perbincangan), isu ini pasti akan disentuh (dalam mesyuarat),” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Ternakan Lembu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di Ladang Ternakan Lembu PPN Perak, Kampung Tengah di Beruas, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, konflik antara Iran dengan Israel menjadi perhatian kerana potensi untuk ia merebak ke negara lain belum dapat dijangka.
“Ketika ini, import dari Iran adalah sukar kerana negara itu dikenakan pelbagai sekatan. Banyak urusan terpaksa dibuat melalui negara ketiga seperti Dubai,” katanya.
Namun, beliau berkata, walaupun Iran sudah berdepan sekatan lebih 40 tahun, negara itu tetap mampu mencapai kemajuan teknologi yang signifikan, termasuk dalam bidang pertahanan.
“Ini seharusnya menjadi cabaran buat kita. Iran disekat tetapi berjaya bangun dan maju. Kita yang tidak disekat, kenapa masih ketinggalan dalam banyak perkara?” katanya melontarkan persoalan.
Beliau memaklumkan antara barangan yang biasa diimport dari Iran ialah kurma, karpet dan beberapa produk sosial lain.
Bagaimanapun, Mohamad menegaskan kerajaan akan terus mencari pendekatan terbaik bagi memastikan keterjaminan makanan negara tidak terjejas, terutama dalam keadaan ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu.
Ditanya mengenai kesan cuaca panas terhadap tanaman padi negara pula, beliau berkata, sebanyak 60 peratus pengeluaran padi negara tidak terjejas, setakat ini.
Namun, katanya, jadual penanaman padi perlu diubah mengikut arahan pihak berkuasa berkaitan serta hasil perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).-BH Online